Thursday, December 20, 2007

KEKAYAAN MATERIAL HANYA SEMENTARA.

SUATU masa ketika Harun ar-Rasyid menjadi khalifah di Baghdad, Iraq ada seorang alim lagi faqih dan soleh yang sangat terkenal pada masa itu, bernama Ali Syaqiq bin al-Azdi. Ketika beliau menunaikan ibadah haji dan singgah di Iraq, Khalifah Harun al-Rasyid memerintahkan pengawalnya untuk mengundang Syaqiq ke istananya.
Setibanya Syaqiq di istana, Khalifah Harun al-Rasyid yang memiliki sifat tawaduk meminta nasihat daripada beliau. Pada saat itu datang seorang pelayan membawa hidangan berisi segelas air. Kemudian Syaqiq mengambil gelas itu dan bertanya kepada khalifah.“Seandainya khalifah berada di gurun yang sangat tandus dan sangat memerlukan seteguk air minum, tiada punca air melainkan pada seorang Arab Badwi dan orang itu mengetahui khalifah yang kaya, lalu ingin menjual air itu dengan separuh daripada harta tuanku, tuanku hendak beli atau tidak?” Khalifah kemudian menjawab akan membayarnya walaupun dengan separuh kekayaan kerajaannya. Syaqiq lalu meminum segelas air terbabit. Syaqiq kemudian bertanya kembali kepada khalifah: “Seandainya air yang tadi diminum tidak dapat dikeluarkan dari tubuh khalifah, yang ada ialah seorang doktor sanggup merawat penyakit khalifah tetapi mengenakan bayaran separuh daripada harta yang tinggal?”Khalifah kembali menjawab akan membayarnya dengan separuh kekayaan kerajaannya. Syaqiq kemudian menjelaskan, harga sebuah kerajaan ternyata sama dengan harga segelas air. Di mana makna yang terkandung di dalamnya adalah jangan bangga dan sombong dengan segala kekayaan yang kita miliki. Jangan saling merebutnya dengan menghalalkan segala cara kerana kekayaan material di dunia sifatnya hanya sementara saja.Di samping itu cerita ini mengingatkan betapa lemahnya kita sebagai manusia sangat memerlukan nikmat Allah.Kita tidak dapat hidup tanpa air. Besar manapun kita, kaya manapun kita, masih kalah dengan air, kita lemah bukan saja memerlukan air, jauh sekali hendak mencipta air. Kita penduduk Malaysia tercinta banyak mandapat nikmat air, jadi syukuri dan jangan membazir air.Kadangkala dengan mudah kita membiarkan air mengalir tanpa menutupnya.Kisah di atas juga melukiskan betapa tidak berertinya harga kekayaan material yang dimiliki manusia di dunia. Ini diikuti dengan merasakan segala itu adalah pinjaman daripada Allah. Allah boleh memberi pada bila-bila masa kepada kita dan Allah juga boleh mengambil nikmat daripada kita bila-bila masa, di mana saja dan apa cara sekalipun. Justeru, kita sebaiknya memperkayakan diri kita, tidak hanya dari segi material saja, namun apa yang ada di sekitar kita dapat dijadikan sumber kekayaan yang hakiki, seperti kita memiliki keluarga soleh dan sebagainya. Sehingga apa-apa yang kita lakukan, insya-Allah akan mendapat keberkatan daripada Allah.

No comments:

4ever

4ever
BBS